20 Tahun Reformasi: Habibie jemput Anwar ke Indonesia

Harits Asyraf Hasnan
Mei 20, 2018 13:10 MYT
Anwar Ibrahim, 71, dibebaskan segera setelah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta hari ini bagi memenuhi jemputan bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie sempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia.
Menerusi kenyataan media yang dimuat naik Anwar di laman Facebooknya, beliau berkata Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai persamaan apabila gerakan reformasi bermula pada tahun 1998.
"21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi-institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie," katanya.
Jelas Anwar, sementara itu rakyat pula mengingati tarikh 2 September 1998 sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun katanya, perjuangan menumbangkan rejim di Malaysia itu hanya selesai kira-kira dua dekad kemudian iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
BACA: Anwar Ibrahim bebas
BACA: 'Dari Penjara ke Istana ...' - Anwar Ibrahim
TONTON: Detik bersejarah 'pembebasan' Datuk Seri Anwar Ibrahim
TONTON: #MalaysiaBaharu: Temubual Eksklusif Astro AWANI bersama Anwar Ibrahim
Anwar melahirkan keyakinan pertemuan dan perbincangan dengan Habibie itu nanti akan mengeratkan lagi hubungan di antara dua negara.
“Saya percaya pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Habibie akan mengeratkan lagi hubungan di antara dua negara kita, serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi di Malaysia,” katanya.
Anwar, 71 tahun, dibebaskan segera setelah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.
#Anwar Ibrahim #Indonesia #Parti Keadilan Rakyat #pilihan raya #pilihan raya umum #PKR #reformasi #reformasi Indonesia
;