20 tahun kekalkan tradisi rumah berhias sempena Hari Malaysia
Aida Aziz
September 15, 2020 07:33 MYT
September 15, 2020 07:33 MYT
Ratusan helai Jalur Gemilang menghiasi rumah, ditambah dengan motosikal dan lori antik yang diletakkan papan tanda Merdeka, antara tradisi yang dilazimi Taraq Naemzia Abdul Ghani sejak 20 tahun lalu.
Rumahnya yang terletak di Taman Cicely, di sini, sering menjadi tumpuan ramai yang mahu melihat barangan sejarah yang dipamerkan menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menurut Taraq, 64 tahun, kebanyakan barangan yang dipamerkan di perkarangan rumahnya itu mempunyai nilai sentimental yang begitu mendalam - ada yang dikumpul sendiri, ada juga yang dihadiahkan oleh rakan.
Malah, semangat kecintaan pada negara juga membuatkan dia sering menyertai pertandingan bertemakan Hari Kebangsaan dengan dibantu rakan-rakan dan jiran tetangga, dari berbilang bangsa, saban tahun.
"Sebelum ini saya buat pondok KRT (Kawasan Rukun Tetangga) dan hias kereta saya, saya dapat nombor satu di peringkat daerah.
"Jadi, musim COVID-19 ini, saya ambil kesempatan untuk buat di rumah, sebab banyak idea yang datang dari keluarga saya.
"Sahabat juga bagi idea untuk sampai ke tahap ini. Saya buat persiapan di rumah supaya boleh menjaga jarak, susulan COVID-19, jaga SOP (prosedur operasi standard)," katanya.
Taraq berkata, antara koleksi yang menjadi tumpuan ialah senarai nama dan gambar Menteri Besar Perak, koleksi setem lama dan baharu, serta lori antik dihiasi Jalur Gemilang yang masih berfungsi untuk tujuan perarakan sebelum ini.
Dia yang begitu menghargai jasa pejuang kemerdekaan terdahulu turut meminta rakyat di negara ini supaya lebih menunjukkan kecintaan kepada negara dan tidak lokek mengibarkan bendera Malaysia di rumah atau kenderaan masing-masing.
"Saya mohon jasa rakyat Malaysia, tolong kibarkan bendera. Ini lambang Malaysia, lambang kita.
"Saya menasihatkan para anak muda dan rakyat Malaysia, hormati bendera Malaysia, kekalkan perpaduan antara kaum, kekalkan negara tercinta kita," katanya.
Dia turut melahirkan kekesalan ada pihak yang menerima bendera percuma tetapi tetap tidak mahu mengibarkannya.
Usaha Taraq tersebut turut mendapat pujian jirannya termasuk Maziah Mohd Sufian, 26 tahun, yang mengagumi warga emas itu.
Maziah berkata, walaupun tahun ini tiada sebarang perarakan dan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kemeriahan tetap terasa dengan tradisi yang dilakukan di kawasan perumahan itu.
"Apabila melihat Taraq menyambutnya sendiri, menghias rumah dengan bendera sebanyak-banyaknya, saya jadi bersemangat untuk menghias rumah saya juga dengan bendera," katanya.
Dalam pada itu, Taraq memaklumkan, dia dan isterinya merancang untuk meneruskan tradisi rumah berhias itu di rumah salah seorang rakannya pada tahun hadapan.
Katanya, ia bagi memberi peluang kepada orang lain untuk merasai kehangatan sambutan hari bersejarah itu, di samping dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan antara satu sama lain.
#barangan sejarah
#bendera
#COVID-19
#Hari Kebangsaan
#Hari Malaysia
#hias rumah
#Jalur Gemilang
#kibarkan bendera
#koronavirus
#Malaysia
#pameran
#pejuang kemerdekaan
#perpaduan
#rakyat Malaysia
#sambutan
#SOP
#Teluk Intan