20 pemburu Harimau Malaya ditahan
Sinar Harian
Ogos 3, 2021 08:19 MYT
Ogos 3, 2021 08:19 MYT
SHAH ALAM: Kerakusan pemburuan Harimau Malaya atau Harimau Belang (Panthera tigris jacksonii) yang dilakukan warga tempatan terus dipatahkan dengan penahanan 20 individu dalam serbuan berasingan sejak tahun 2011 hingga tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dengan penahanan 20 orang warga tempatan itu, pihaknya turut merampas hidupan liar terbabit berserta pelbagai anggota badan yang dipercayai akan dijual di pasaran gelap.
Menurutnya, nilai rampasan yang direkodkan bagi tempoh terbabit berjumlah RM2.21 juta.
"Kami (Perhilitan) berjaya merampas seekor Harimau Malaya dan bahagian binatang itu seperti daging, tulang, kulit, kuku dan taring.
"Kesalahan pemburu itu disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Isnin.
Abdul Kadir menjelaskan, pelbagai program dan inisiatif penguatkuasaan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Perhilitan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengekang kegiatan pemburuan hidupan liar ini.
Katanya, diharap ia dapat memberi mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa kerajaan amat tegas dan komited dalam melindungi khazanah negara yang tidak ternilai ini.
"Saya minta mereka segera menghentikan kegiatan ini dengan segera kerana binatang liar ini (Harimau Malaya) adalah khazanah negara," ujarnya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Abdul Kadir berkata, jumlah Harimau Malaya yang direkodkan terbaharu ada di hutan negara kurang daripada 200 ekor dan ia mencatatkan penyusutan yang ketara.
Tambah beliau, tidak dinafikan terdapat pembabitan warga tempatan yang terdiri daripada kumpulan pemberi maklumat serta pemburu haram dalam kegiatan pemburuan spesis ini.
Pada 29 Julai setiap tahun, Hari Harimau Sedunia disambut untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penurunan populasi Harimau bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia.
Tema pada tahun ini ialah 'Their survival is in our hands'.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. 20 pemburu Harimau Malaya ditahan