20 murid sekolah Pulau Pababaq jatuh laut akibat jeti roboh
Mirlen Axtius
Januari 30, 2023 19:04 MYT
Januari 30, 2023 19:04 MYT
KOTA KINABALU: Seramai 20 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag di Semporna terjatuh ke dalam laut selepas jeti di pulau berkenaan roboh kira-kira jam 6.45 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, selain itu, lima orang murid Tabika KEMAS serta beberapa orang ibu bapa yang menghantar murid ke sekolah berkenaan turut terjatuh ke laut.
Abidin berkata, selain murid yang terlibat, dua orang lagi guru iaitu Penolong Kanan (PK) 1 dan PK Hal Ehwal Murid (HEM) telah terjun membantu menyelamat mangsa terlibat.
Katanya, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan turut terlibat dengan kejadian berkenaan.
“Berikutan insiden itu, dua orang murid yang terlibat telah mengalami kecederaan ringan selain luka pada bibir dan tangan akibat terkena kayu dan simen jeti yang jatuh sementara mangsa yang hanya kebasahan akibat terjatuh ke laut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, dua murid yang mengalami cedera ringan setelah dinilai tahap kecederaan juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berat yang dilaporkan setakat ini. Manakala bagi murid yang diberi sijil sakit selepas menerima rawatan di klinik atau hospital adalah dibenarkan untuk berehat," katanya.