20 keluarga merempat di kampung sendiri

Astro Awani
Disember 7, 2017 06:46 MYT
Penderitaan yang ditanggung keluarga itu akhirnya mendapat perhatian daripada JPP Negeri Terengganu untuk membaik pulih rumah mereka.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Itulah yang terpaksa ditempuhi empat keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di Kampung Limbong, Dungun.
Kemiskinan itu juga menyebabkan mereka tidak mampu menyekolahkan anak-anak selain hidup tanpa bekalan elektrik dan menggunakan air perigi.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, mereka mengutip botol dan kotak terpakai serta mengutip hasil hutan sebagai sumber pendapatan.
Kisah keluarga besar yang menempatkan 20 ahli keluarga termasuk 13 kanak-kanak itu juga tersebar luas di laman sosial didakwa hidup dalam keadaan kedaifan serta rumah mereka terlalu kotor.
Penderitaan yang ditanggung keluarga itu akhirnya mendapat perhatian daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu untuk membaik pulih rumah mereka.
Seorang ahli keluarga, Rosyatimah Ali melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang dihulurkan kepada mereka.
"Adik beradik memang ramai, susah sikit sebab ada tiga adik beradik OKU. Termasuk anak saya OKU sejak lahir lagi," katanya.
Sementara itu Penghulu Mukim Paka, Mohd Shukri Hashim berkata, peruntukan sebanyak RM 10,000 itu bagi membaik pulih rumah keluarga tersebut.
#air #anak #keluarga #laman sosial #merempat #miskin #OKU
;