20 kedai di Sibu musnah akibat kebakaran

Astro Awani
Julai 15, 2013 20:16 MYT
Sebuah kebakaran telah memusnahkan 20 kedai di Jalan Tukang Besi di sini hari ini, menjadikannya kebakaran ketiga di bandar ini dalam tempoh kurang dari sebulan.
Anggota bomba dan empat jentera mengambil masa kira-kira dua jam untukmengawal kebakaran yang bermula 11 pagi, dan menghalangnya daripada merebak ke kedai berdekatan.
Antara kedai yang musnah adalah dua makmal perubatan, kedai buku, bengkel membaiki motosikal, kedai tukang emas/senjata, klinik swasta, restoran dan pejabat cawangan dua akhbar berbahasa Cina iaitu ’The International Times’ dan ’Berita Petang’.
Menurut seorang saksi, Dr. Isaali Wasli, yang mengusahakan Klinik Ali di kawasan itu sejak 24 tahun lepas, beliau sedang merawat beberapa pesakit di klinik berkenaan ketika kebakaran tercetus.
Beliau menyuruh pesakit beredar sebelum kebakaran merebak ke kliniknya, dan berkata kebakaran dipercayai bermula dari sebuah daripada kedai di tingkat satu bangunan kedai sebaris itu.
#API #kebakaran #kedai #Sibu