20 darjah Celsius bukan luar biasa - MetMalaysia

Isabelle Leong
Januari 12, 2018 08:03 MYT
MetMalaysia berkata cuaca di sebelah utara Semenanjung Malaysia memang agak sejuk memandangkan berlakunya hujan berterusan pada Khamis, tetapi tidak luar biasa. - Gambar hiasan
Aplikasi ramalan cuaca Malaysia, Met Office, baru-baru ini telah memaparkan cuaca di Lembah Klang turun sekitar 22 darjah Celsius.
Adakah ini bermakna Malaysia bakal dilanda cuaca sejuk yang melampau?
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagaimanapun menafikan ramalan tersebut.
Menurut Ketua Pengarahnya, Alui Bahari, cuaca di sebelah utara Semenanjung Malaysia memang agak sejuk memandangkan berlakunya hujan berterusan sejak Khamis.
BACA: Kompilasi ekstrem: Cuaca dunia semakin aneh dan tidak menentu
Beliau menjangkakan cuaca mungkin boleh mencecah 20 darjah Celsius pada waktu subuh pada Jumaat (12 Jan), namun akan kembali kepada suhu biasa keesokan harinya.
"Pada masa ini, cuaca memang agak sejuk di sebelah utara Semenanjung kerana berlakunya hujan berterusan pada hari ini (Khamis) dan hujan ini dijangka akan berterusan sehingga tengah malam.
"Dan esok (Jumaat), kami jangkakan suhu akan kembali seperti biasa," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Alui, penurunan suhu hingga ke 20 darjah Celsius bukan sesuatu yang luar biasa.
Malah, jelas beliau, cuaca pernah mencecah 15.7 darjah Celsius pada beberapa tahun yang lepas.
"Pernah berlaku beberapa tahun lalu di Perlis, Kedah dan Kuala Krai, Kelantan di mana suhu menurun kepada 18 darjah Celsius disebabkan oleh tiupan angin dari utara.
"Lazimnya, ia berlaku pada bulan Januari dan bulan Februari di mana angin Timur Laut bertiup," jelas beliau lagi.
Berikut merupakan suhu kawasan yang pernah mencatatkan suhu terendah pada 2014:
3 Februari 2014
Kota Bharu, Kelantan: 17.8°C
Gong Kedak, Terengganu: 17.6°C
Kuala Krai, Kelantan: 15.7°C
4 Februari 2014
Chuping, Perlis: 16.1°C
Butterworth, P. Pinang: 19.0°C
Kuala Kangsar, Perak: 17.2°C
#Alui Bahari #berterusan #cuaca #Februari #hujan #Jabatan Meteorologi Malaysia #Januari #Kedah #Ketua Pengarah Jabatan MetMalaysia #luar biasa #melampau #MetMalaysia #Perlis #sejuk #Semenanjung Malaysia #Subuh #Timur Laut #Utara
;