20 calon cuba nasib untuk ganti Haziq - Shamsul
Astro Awani
Julai 5, 2019 12:15 MYT
Julai 5, 2019 12:15 MYT
Selepas Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat dari jawatan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, kini 20 calon sedang cuba mengintai peluang bekerja di bawah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurut Shamsul, mereka yang memohon terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk wartawan senior dari media cetak dan eletronik.
Namun beliau menegaskan akan lebih berhati-hati dalam memilih calon yang sesuai bagi memastikan calon tersebut benar-benar layak menggalas tugas itu.
"Pengalaman lalu banyak mengajar kita, jadi saya harap pengganti Haziq nanti adalah seorang yang bertanggungjawab dan dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. Dulu pun kita hati-hati juga untuk memilih beliau. Tapi manalah kita tahu apa yang akan berlaku, sesuatu tidak dijangka.
"Buat masa sekarang ini saya akan bekerjasama dengan bahagian sumber manusia untuk lihat kelebihan calon-calon ini. Lingkungan umur mereka pun ada yang mencecah 50-an," katanya seperti dilapor portal Sinar Harian.
Sementara itu, Shamsul berkata, tindakan pemecatan Haziq adalah tepat berdasarkan fakta dan bukti yang berkaitan.
"Alasan pemecatan sudah jelas dan pihak-pihak yang dikaitkan dengan kes tersebut juga telah membuat kenyataan yang sewajarnya. Kita tidak boleh galakkan budaya menyerang pimpinan tanpa ada sebarang sebab dan sepatutnya sebarang isu melibatkan pimpinan dan parti perlulah dirungkai melalui kaedah dalaman.
"Kita fikir tiada lagi asas yang kuat untuk Haziq bertahan dan saya percaya, proses keadilan untuk beliau telah diberikan sebaik mungkin," katanya.
BACA: Video intim: Haziq Abdullah digantung kerja serta-merta
#Haziq Abdullah Abdul Aziz
#Kementerian Industri Utama
#setiausaha sulit kanan
#Shamsul Iskandar Mohd Akin