20 bekas pelajar mengaku bersalah pukul rakan sekolah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 22, 2022 14:12 MYT
Jun 22, 2022 14:12 MYT
SUNGAI PETANI: Seramai 20 bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Merbok di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas rakan sekolah mereka pada Oktober 2020.
Kesemua tertuduh yang berumur antara 18 dan 19 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika itu masing-masing berumur antara 16 dan 17 tahun dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas rakan sekolah mereka berusia 16 tahun semasa kejadian di kawasan asrama sekolah antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada 27 Okt 2020.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nurliyana Mohd Radzi.
Majistret kemudiannya menetapkan 10 Ogos depan untuk pendengaran laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.