20,000 pengunjung meriahkan Malam Cinta Rasul di Stadium Malawati

Astro Awani
Januari 2, 2023 13:15 MYT
Seramai 20,000 orang membanjiri Stadium Malawati Shah Alam bagi memeriahkan Malam Cinta Rasul (MCR) 3.0 yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia bagi menyambut tahun baharu 2023. - Foto ACT Malaysia
KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 orang membanjiri Stadium Malawati Shah Alam bagi memeriahkan Malam Cinta Rasul (MCR) 3.0 yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia bagi menyambut tahun baharu 2023.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia, Muhammad Fazil Mohd Dali berkata, MCR 3.0 yang dianjurkan dengan kerjasama Semboyan Malaysia menampilkan tokoh-tokoh agama terkenal antaranya Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Syeikh Abu Zaki Al Sangafuri, Ustaz Wan Helmi Al Hafiz.
"Orang ramai mula memenuhi lokasi acara seawal pukul 2 petang dengan mengikuti berbagai pengisian seperti tausiyah serta qasidah dan selawat.
"Acara kemuncak dimulakan selepas solat maghrib berjemaah dengan tausiyah yang disampaikan Syeikh Abu Zaki Al Sangafuri yang bertajuk kisah saat kewafatan Rasullullah SAW disusuli oleh tausiyah bertajuk Rasulullah Rahmatan Lil Alamin yang disampaikan Ustaz Wan Helmi Al-Hafiz sebelum diakhiri dengan tausiyah penutup Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, apa yang lebih menggembirakan apabila pengunjung hadir dari berbagai peringkat umur semata-mata ingin bersama untuk memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Belum pernah program seumpama ini dianjurkan pada malam tahun baru yang kebiasaannya dipenuhi dengan program hiburan.
"Seterusnya ia akan menggalakkan golongan muda menyambut tahun baru dengan pengisian yang lebih bermanfaat di samping mengambil keberkatan golongan ulamak yang boleh menjadi asbab kebaikan di dunia dan akhirat," ujarnya.
Malam Cinta Rasul 3.0 yang diadakan kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan pada bulan Ogos 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Melihat pada sambutan luar biasa setiap kali penganjurannya, Muhammad Fazil turut berhasrat menganjurkan program seterusnya di kawasan terbuka seperti di Dataran Merdeka pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pengunjung berpeluang menghadirinya.
Sementara itu Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi turut menyatakan rasa syukur di atas sambutan luar dugaan terhadap program berkenaan.
"Kita akan terus menyokong penganjuran program ini pada masa akan datang.
"Walaupun Semboyan Malaysia lebih tertumpu kepada isu-isu kepenggunaan, namun kitaakan terus menyokong program seumpama ini kerana ia merupakan salah satu usaha dakwah berterusan yang membawa banyak membawa manfaat terutama kepada golongan muda," katanya.
#Tahun Baharu 2023 #sambutan tahun baharu #Malam Cinta Rasul
;