20,000 liter minyak masak tumpah, lori tangki langgar tiang plaza tol
Dewi Nur Harasha Alias
April 20, 2021 16:51 MYT
April 20, 2021 16:51 MYT
BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 20,000 liter minyak masak tumpah selepas lori tangki membawa muatan itu mengalami kebocoran akibat melanggar tiang Plaza Tol Juru arah utara, di sini, pada Selasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah hari dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati berlaku kebocoran lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter minyak masak.
"Lori tangki berkenaan dipandu pemandu lori yang berusia lingkungan 50-an dan dia dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
“Pasukan Bomba bersama PLUS Response Team menjalankan kerja-kerja bagi menghentikan kebocoran pada tangki dan melakukan pembersihan di kawasan tumpahan minyak sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, operasi oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu ditamatkan jam 1.30 tengah hari.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman Twitter memaklumkan, kejadian itu menyebabkan aliran trafik ke arah utara perlahan sejauh kira-kira tiga kilometer.
#minyak masak
#tumpah
#lori tangki
#langgar tiang
#Plaza Tol Juru
#bomba
#kesesakan
#kecederaan
#kebocoran