2 warga China didenda RM50,000 guna alat komunikasi tidak diperakui

Sinar Harian
Januari 23, 2024 15:16 MYT
Kedua-dua tertuduh diiring polis ketika hadir ke mahkamah. - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Dua lelaki warga China masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Huang Xiaomin, 40, dan Zhang Cheng, 22, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Huang Xiaomin menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) pindaan 2022 iaitu 41 unit sim box tiada jenama manakala Zhang Cheng menggunakan 34 sim box tiada jenama dan seunit Network Switch dengan pertuduhan sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Bukit Kepayang di sini, kira-kira jam 2.30 petang 3 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) pindaan 2022 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) peraturan sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira jenayah mereka sebagai warga asing di negara ini.
Media pada 7 Januari lalu melaporkan polis menumpaskan sindiket penipuan kad prabayar tidak sah di daerah ini yang dipercayai membekalkan simkad berkenaan kepada sindiket yang menjalankan penipuan dalam talian. - Sinar Harian
#kes mahkamah #warga china #sindiket penipuan #SKMM
;