2 tahun tempoh pemutihan, patuhi Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 2, 2023 14:20 MYT
GPP itu dirangka dan dikeluarkan susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, 16 Disember tahun lalu. - Gambar fail
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh pemutihan dua tahun kepada pengusaha kawasan perkhemahan supaya mematuhi Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang dikeluarkan mulai hari ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, mulai tahun hadapan, semua aktiviti perkhemahan perlu mematuhi prinsip 6K yang terkandung dalam garis panduan tersebut.
Menurutnya, enam prinsip itu ialah keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi dan kepatuhan perundangan
"Kesemua 6K ini adalah amat penting supaya pengunjung ke tapak perkhemahan yang berlesen, mereka akan berasa keselamatan terjamin di mana daripada garis panduan ini, telah kita mengenal pasti pelbagai aspek.
"Pertama dari segi kesesuaian lokasi, kedua tempat tersebut yang memang boleh dimajukan, ketiga kemudahan awam yang wajib disediakan di tapak perkhemahan seperti tandas, seperti kemudahan surau... seperti ada tempat lighting, internet dan lain-lain.
"Kesemua ini akan memberikan garis panduan untuk PBT keluarkan lesen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media prapelancaran garis panduan itu di Taman DR Seenavasagam, Ipoh pada Sabtu.
Menurutnya, selain keselamatan di tapak perkhemahan, beberapa isu utama lain turut dikenal pasti, antaranya, kacau ganggu, pencemaran alam, vandalisme dan gangguan binatang liar.
Beliau berharap garis panduan itu akan menjadi rujukan semua pihak berkepentingan dalam memastikan pemaju tapak perkhemahan mengutamakan kemampanan alam semula jadi dan keselamatan awam melalui tatacara pemajuan dan kawal selia yang menyeluruh.
GPP itu dirangka dan dikeluarkan susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, 16 Disember tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, seramai 92 mangsa terlibat dengan 31 orang terkorban.
Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.
Ia merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.
#tapak perkemahan #garis panduan #Nga Kor Ming #pemutihan
;