2 tahanan lolos dari PKRC ditahan semula, seorang masih bebas

Petrus Bernard
September 6, 2021 00:16 MYT
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata kedua-dua lelaki terbabit berjaya dikesan hasil maklumat awam. - Gambar hiasan
TAWAU: Dua tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Dewan Arena Tawau di sini, ditahan semula pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata kedua-dua lelaki terbabit berjaya dikesan hasil maklumat awam.
Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada jam 12.30 tengah hari ke atas tahanan berusia 34 tahun di di kawasan Tawau Lama, manakala tangkapan kedua berusia 25 tahun di rumahnya di Kampung Kau Sing Batu 7 Jalan Apas pada jam 5.30 petang.
"Suspek berusia 34 tahun merupakan tahanan polis yang sedang menjalani tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Seorang lagi adalah banduan yang sudah dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Tawau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi.
"Seorang lagi banduan berusia 23 tahun yang turut melarikan diri dari PKRC itu belum ditemui dan masih dalam buruan polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu tiga orang iaitu dua banduan dan seorang tahanan polis yang positif COVID-19 di PKRC itu dipercayai bertindak mengumpil besi penghadang tingkap sebelum melarikan diri pada jam 12.30 tengah malam Ahad.
#tahanan lolos #Sabah #dewan arena tawau #Peter Umbuas
;