2 sahabat mengaku salah baling mercun bola ke arah anggota polis

Bernama
Mei 25, 2021 17:36 MYT
Majistret Nur Hafizah Rajuni kemudiannya membenarkan kedua-dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua sahabat termasuk seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana menakutkan anggota polis yang sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan cara membakar dan membaling tiga biji mercun bola terhadap mangsa, minggu lepas.
Pelayan restoran Muhammad Amirul Syafiq Yasin, 21, dan rakannya itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Konstabel Mohd Aliffnajmi Kassim dan 11 lagi petugas SJR Mobile Op COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Balai Polis Gombak di Jalan Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak, pada 10.30 malam, 18 Mei lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni kemudiannya membenarkan kedua-dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan mereka pesalah muda dan juvana.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
-- BERNAMA
#baling mercun #lontar mercun #SJR #Sekatan Jalan Raya #mahkamah #remaja #Plaza Tol Gombak
;