2 rumah musnah terbakar di Taiping
Aida Aziz
Oktober 21, 2022 06:20 MYT
Oktober 21, 2022 06:20 MYT
TAIPING: Dua buah rumah sederet musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Permaisuri Aulong, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam.
Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dengan dibantu BBP Kamunting, kemudiannya bergegas ke lokasi.
"Kebakaran membabitkan dua buah rumah kelas B, iaitu sebuah rumah berkeluasan 20x40 dan sebuah lagi 20x60, masing-masing musnah terbakar 80 peratus.
"Bagaimanapun kebakaran itu tidak melibatkan mangsa dan sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya melakukan kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos 200 kaki dua pancutan air dari tangki jentera, serta dibantu anggota BBP Kamunting sehingga api padam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Yusrizal Abu Bakar itu tamat pada jam 2.30 pagi.