2 rentung pacuan empat roda rempuh treler kontena

Azee Shafy
Mac 12, 2023 12:40 MYT
Kemalangan mengorbankan dua individu itu membabitkan sebuah Ford Ranger dengan treler kontena. -Gambar JBPM
TEMERLOH: Dua mayat rentung ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Kampung Cempaka, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Ford Ranger dengan treler kontena.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.24 pagi sebelum sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dihantar ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang menaiki Ford Ranger dipercayai membawa barangan gantian kereta telah melanggar belakang treler kontena sehingga menyebabkan kebakaran.
"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit dan rentung.
"Setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulfadli berkata, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos salur dengan bantuan air tangki pam jentera.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
#kemalangan maut #mangsa rentung #treler kontena #Lebuhraya Pantai Timur
;