2 remaja maut motosikal bertembung
Muhammad Aiman Hakeem
Disember 12, 2021 16:57 MYT
Disember 12, 2021 16:57 MYT
KOTA TINGGI: Dua remaja berusia 13 dan 15 tahun maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain di KM 31.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, pada Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang berusia 13 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh penunggang motosikal yang berusia 15 tahun.
"Akibat pelanggaran, lelaki 13 tahun, cedera parah di bahagian kepala serta kakinya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi mangsa berumur 15 tahun cedera parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kawasan kemalangan adalah jalan lurus yang gelap tanpa lampu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar.