2 remaja maut motosikal bergesel ketika lumba haram
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 17, 2022 18:27 MYT
Oktober 17, 2022 18:27 MYT
SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki maut ketika berlumba haram selepas motosikal mereka bergesel di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan di sini, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 16 dan 19 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Hasil siasatan polis nahas membabitkan empat motosikal di mana semua mereka berlumba dari Sungai Petani menghala ke Butterworth dengan laju sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.
"Akibat pergeselan itu motosikal ditunggang mangsa terbabas di tengah lebuh raya dan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Dua lagi mangsa berusia 18 dan 19 tahun masing-masing parah dan cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.