2 rakyat Malaysia tersenarai dalam 112 peserta Forum Pemimpin Muda Global

Ahmad Khairol Shafizan Johari
Mac 12, 2021 21:34 MYT
Reezal berkata, Malaysia berbangga dengan kejayaan kedua-dua mereka terpilih sebagai peserta Forum Pemimpin Muda Global 2021. - Gambar / younggloballeaders.org
KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia tersenarai antara 112 peserta Forum Pemimpin Muda Global atau Forum of Young Global Leaders (YGL) 2021.
Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif GoGet, Francesca Chia serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The ASEAN Post, Rohan Ramakrishnan.
Francesca yang juga Pengasas Bersama GoGet, platform teknologi yang menghubungkan perniagaan dengan pekerja sambilan, menyasarkan untuk menembus kekangan dalam dalam industri teknologi dan pasaran buruh tradisional Malaysia.
Sementara Rohan pula meletakkan sasaran untuk menjadi penyelesaian terhadap masalah kekurangan data dan maklumat mengenai pasaran ASEAN dengan mewujudkan The ASEAN Post.
Setiap tahun, Forum Pemimpin Muda Global melalui proses pemilihan yang ketat untuk mengenal pasti, memilih dan menghargai pemimpin luar biasa yang berumur di bawah 40 tahun daripada pelbagai komuniti dan industri di seluruh dunia.
YGL kini mempunyai 1,400 ahli dan alumni dari 120 negara merangkumi inovator sivik dan perniagaan, usahawan, perintis teknologi, pendidik, aktivis, seniman, wartawan dan banyak lagi.
Sementara itu, kejayaan mereka berdua turut mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal dalam Instagram Story berkata, Malaysia berbangga dengan kejayaan kedua-dua mereka terpilih sebagai peserta Forum Pemimpin Muda Global 2021.
#rakyat Malaysia #Forum Pemimpin Muda Global #Forum of Young Global Leaders #Francesca Chia #Rohan Ramakrishnan #GoGet #The ASEAN Post #Reezal Merican
;