2 penjenayah cuba langgar polis serah diri selepas dengar tembakan amaran
Adie Sufian Zulkefli
Januari 4, 2022 22:35 MYT
Januari 4, 2022 22:35 MYT
PENDANG: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran untuk menyelamatkan diri selepas dua penjenayah yang menaiki sebuah lori bertindak melanggar kenderaan pasukan itu.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi Selasa, dua suspek itu dipercayai bertindak demikian sebaik anggota polis yang mengejar mereka berjaya menahan lori terbabit di kawasan Kampung Belat, Kubur Panjang, Pendang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdahulu polis mengekori lori mencurigakan terbabit dari Gerik, Perak sehingga ke Baling sebelum menahan kenderaan itu.
"Kedua-dua suspek berusia 25 dan 28 tahun itu akhirnya menyerah diri sebaik mendengar tembakan amaran ke udara oleh anggota polis.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam lori dan ke atas tubuh suspek menemui 0.34 gram ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.
Katanya, hasil siasatan terhadap lori berkenaan mendapati ia bersangkut dengan kes kehilangan kenderaan di Kepala Batas, Pulau Pinang mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).
"Siasatan lanjut juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.