2 nelayan dikhuatiri lemas bot bertembung
Adie Sufian Zulkefli
Disember 10, 2021 17:23 MYT
Disember 10, 2021 17:23 MYT
KUALA PERLIS: Dua nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot mereka bertembung dengan sebuah lagi bot di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, di sini, Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 malam ketika kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah bot fiber menyusuri sungai berkenaan menuju ke Jeti Tok Kuning.
"Secara tiba-tiba bot mereka berlanggar dengan sebuah lagi bot yang agak besar dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai dan dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wari memaklumkan mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45.
“Pemandu sebuah lagi bot tidak mengalami kecederaan dan dia segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Perlis berhubung kemalangan berkenaan,” ujarnya.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, bot mangsa mengalami kerosakan di bahagian tengah dan hadapan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dilakukan melibatkan seramai 28 anggota polis termasuk lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan Balai Polis Kuala Perlis.
Mereka dibantu 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).