2 maut dalam kejadian berbalas tembakan di Damansara

Hakim Rahman
Mei 18, 2018 22:02 MYT
Menurut Fadzil, polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri. - Ihsan pembaca Astro AWANI
Polis berjaya menembak mati dua daripada enam suspek yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah Atria Shopping Gallery, Damansara Jaya petang tadi.
Kejadian berbalas tembakan itu berlaku kira-kira 4.55 petang selepas sepasukan anggotanya bertembung dengan sekumpulan lelaki berkenaan sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata sepasukan anggota daripada Unit Jenayah Berat (D9) terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.
"Setibanya di lobi pusat beli-belah tersebut, pihak D9 telah bertembung dengan sekumpulan lelaki memakai topi keledar bervisor dan berjaket, sedang merempuh keluar.
"Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan dan tembakan balas terpaksa dilepaskan," katanya.
BACA: 'Rompak! Rompak! Lari!' Saksi cerita detik cemas tembak-menembak di Damansara Jaya
Insiden berbalas tembakan itu mengakibatkan dua suspek ditembak mati manakala empat lagi berjaya ditahan.
Tambah Fadzil, sejumlah barang kemas yang disamun berjaya ditemui di lokasi kejadian selain merampas tiga pucuk pistol.
#Atria mall #Damansara Jaya #keselamatan #perompak #pistol #polis Damansara #pusat beli-belah #rompak kedai emas #tembak mati
;