2 maut bas persiaran terbalik di Bentong
Fahmi Izuddin
Mac 29, 2024 11:55 MYT
Mac 29, 2024 11:55 MYT
BENTONG: Dua penumpang maut manakala 11 yang lain cedera apabila sebuah bas persiaran dinaiki mereka terbalik di KM 51.4 arah timur (Bukit Tinggi - Lentang) Lebuh Raya Karak Bentong pada awal pagi Jumaat.
Mangsa terdiri daripada 20 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
Bas persiaran terbabit dipercayai dalam perjalanan menghala timur berhampiran hentian rehat Lentang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dua penumpang yang maut melibatkan seorang lelaki warga asing manakala seorang wanita yang tidak dapat disahkan kewarganegaraannya.
Sementara itu, dua warganegara tempatan dilaporkan cedera parah melibatkan pemandu dan seorang penumpang wanita.
Sejumlah 11 individu dilaporkan cedera manakala lima penumpang lain dalam keadaan selamat.
Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat mangsa cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan susulan.
Selain itu, Komander Operasi Kanan TPgB Mohd Rosdan Zakaria mengesahkan kejadian itu berlaku melibatkan sebuah bas persiaran yang terbalik merentang jalan.