2 maut, 2 parah kemalangan berhampiran Terowong Menora

Abd Razak Mohd Ali
Mei 2, 2021 23:23 MYT
Kemalangan itu membabitkan Perodua Myvi, Perodua Alza, Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal. - Gambar/ JBPM
IPOH: Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 263.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.56 petang berkenaan, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dikenali sebagai K Nagantheran itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan selepas tersepit dalam kenderaannya.
Seorang lagi mangsa, Maryamah Talib, 52, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, ketika menerima rawatan malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kemalangan itu turut menyaksikan dua lelaki cedera parah, seorang cedera ringan manakala enam lagi tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan Perodua Myvi, Perodua Alza, Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal.
"Ketika pasukan tiba di lokasi kejadian, hanya seorang mangsa (Nagantheran) iaitu lelaki yang menaiki Perodua Alza masih tersepit, sementara tiga mangsa lain sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Maryamah yang memandu Perodua Myvi adalah salah seorang daripada tiga yang dikeluarkan orang awam, mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut. Mangsa yang maut turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
#kemalangan #maut #parah #Terowong Menora #Ipoh #bomba #tersepit #Myvi #Alza
;