2 maut, 1 cedera dalam nahas dua kenderaan di WCE
Astro Awani
Disember 30, 2022 11:00 MYT
Disember 30, 2022 11:00 MYT
MANJUNG: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah lagi kenderaan di kilometer 208.6 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.
Difahamkan nahas dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga mangsa itu berpusing lalu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang tidak sempat mengelak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.35 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejar ke lokasi.
"Dipercayai Toyota Vios itu berpusing dan Proton Saga terlanggar dari arah belakang lalu menyebabkan Toyota Vios itu tersangkut di atas pembahagi jalan.
"Selain itu seorang penumpang tercampak ke dalam parit.
"Terdapat empat orang mangsa dalam kemalangan dua kenderaan ini. Pemandu lelaki Toyota Vios cedera tersepit manakala dua lagi penumpang lelaki maut di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta Proton Saga selamat dalam nahas itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya lagi, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ellya Syaril Tahrim itu tamat pada jam 8.46 pagi.