2 lokasi dikenal pasti, operasi kesan jasad Orang Asli Kuala Koh bermula esok
Vivi Sumanti
Jun 11, 2019 19:24 MYT
Jun 11, 2019 19:24 MYT
Operasi mengesan jasad dan bukti kematian 12 Orang Asli yang dipercayai berpunca daripada penyakit yang belum diketahui puncanya dijangka dimulakan pagi esok.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta agensi berkaitan akan memulakan operasi menjejaki jasad itu selepas taklimat pada pagi Rabu.
"Satu taklimat bersama agensi-agensi terlibat akan diadakan pada pukul 8.30 pagi esok sebelum operasi itu dilakukan,” katanya pada Selasa.
Menurut Mohd Taufik, pihaknya akan membawa keluar jasad atau bukti yang ditemukan untuk tujuan bedah siasat.
Difahamkan polis sudah mengenal pasti dua lokasi di mana 12 jasad Orang Asli dikebumikan secara adat di dalam hutan di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir.
Pencarian yang turut disertai ketua masyarakat Asli itu dijangka akan tertumpu dalam kawasan tiga kilometer dari penempatan masyarakat Asli Batek dan berhampiran Sungai Lebir.
#12 Orang Asli
#Mohd Taufik Maidin
#Operasi mengesan jasad dan bukti kematian
#Pasukan Gerakan Am
#penyakit yang belum diketahui puncanya
#PGA
#Pos Lebir
#Unit Forensik