2 lelaki Myanmar ditahan terlibat sindiket pemalsuan slip kad UNHCR
Bernama
April 21, 2024 19:36 MYT
April 21, 2024 19:36 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan menahan dua lelaki warga Myanmar disyaki terlibat sindiket mengeluarkan slip permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam operasi khas di Pasir Puteh, Jumaat lepas.
Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Kelantan Ruzaana Mohamed berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan menerusi Ops Sapu pada 2 pagi di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal, di sini hasil risikan bahagian penguat kuasa.
"Suspek pertama menetap di negara ini menggunakan kad UNHCR sah dan mengaku sebagai pemilik komputer riba. Dia disiasat di bawah Seksyen 55 D dan 55 E Akta Imigresen 1959/63.
"Selain itu, suspek juga membenarkan seorang lagi imigran haram tinggal bersamanya dan ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya pada sidang media di Kompleks Jabatan Imigresen Kelantan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan menemukan dua komputer riba, peti besi dan sejumlah wang tunai RM140,000 milik suspek yang disyaki hasil kegiatan itu selain lima keping cetakan slip permohonan kad UNHCR palsu.
Ruzaana berkata siasatan lanjut terhadap isi kandungan komputer menemukan dokumen slip permohonan kad UNHCR yang disyaki digunakan untuk mendapatkan kad UNHCR secara tidak sah dan kegiatan terbabit dipercayai dilakukan suspek sejak tiga tahun lepas.
"Kes pemalsuan slip kad perakuan pelarian itu adalah yang pertama bagi tahun ini dan kita tidak menolak sindiket itu mempunyai rangkaian tertentu di negara ini dengan menggunakan media sosial sebagai hebahan," katanya menambah pihaknya sedang mengenal pasti dalang utama kegiatan berkenaan.
Menurut Ruzaana kedua-dua lelaki terbabit dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan kepada sebarang pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi golongan itu," katanya.
-- BERNAMA