2 lelaki dalam 4WD mati ditembak dari jarak dekat di Sabah
Ridzal Abdullah
April 15, 2016 10:46 MYT
April 15, 2016 10:46 MYT
Dua lelaki maut selepas terkena lapan das tembakan yang dilepaskan dua suspek bermotosikal dalam kejadian di Jalan Kolam, Luyang, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 23 dan 35 tahun yang berasal dari Sibu, Sarawak itu meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Seorang lagi penumpang yang juga adik kembar kepada salah seorang mangsa sempat menyelamatkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Sallehuddin Abd Rahman berkata ketiga-tiga mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dalam perjalanan menuju ke pusat bandar dari lampu isyarat Bukit Padang, sebelum dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenali memakai pakaian serba hitam.
"Berdasarkan maklumat awal, sebaik sahaja kenderaan mangsa tiba di tempat kejadian tidak semena-mena muncul sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki lalu melepaskan lapan das tembakan ke arah cermin sisi tempat pemandu kenderaan pacuan empat roda itu.
"Pemandu yang berusia 35 tahun dan penumpang di hadapan berusia 23 tahun terbunuh akibat terkena tembakan, sementara seorang lagi yang juga adik kembar mangsa berusia 23 tahun sempat menyelamatkan diri," katanya.
Kata Sallehuddin, sejurus melepaskan tembakan, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal itu berjaya meloloskan diri dengan memecut laju menuju keluar dari lokasi kejadian dan Land Cruiser berkenaan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 58 tahun.
Menurut beliau, polis masih menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian dengan membabitkan pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
"Gerakan memburu suspek terbabit sedang giat dilakukan dengan membuat Op Tutup di sekitar daerah berdekatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.