2 lelaki cedera rumah dihempap pokok tumbang akibat tanah runtuh

Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2023 13:50 MYT
Kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah runtuhan rumah berjaya dikeluarkan anggota bomba. - Gambar/ JBPM
TAPAH: Dua lelaki warga Myanmar cedera selepas rumah mereka dihempap pokok yang tumbang ekoran tanah runtuh di Jalan Temoh Batu 3, dekat sini, hari ini.
Kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah runtuhan rumah berjaya dikeluarkan anggota bomba dan pemeriksaan awal mendapati mereka mengalami kecederaan pada kaki.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pasukan itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.45 petang.
“Anggota bomba mengalihkan serpihan runtuhan rumah yang menghempap mangsa dan kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Difahamkan tanah di kawasan berhampiran rumah itu runtuh selepas hujan lebat lebih dua jam sejak jam 4 petang.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Nadzri Che Nordin itu, tamat jam 7.53 malam.
Sementara itu, hujan lebat turut menyebabkan beberapa kawasan di Tapah dilanda banjir kilat, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
#rumah dihempap pokok #tanah runtuh #Tapah #jalan temoh