2 kumpulan ancam mahu saman kerajaan atas masalah jerebu

Teoh El Sen
Jun 25, 2013 23:47 MYT
Dua kumpulan mengancam untuk menyaman kerajaan Malaysia atas dakwaan cuai dan pecah amanah sehingga menyebabkan krisis jerebu yang melanda negara.
Kumpulan terbabit adalah Memacu Arus Perjuangan(MAP) dan Parti Rakyat Malaysia(PRM).
Satu notis dikatakan telahpun diserahkan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk G. Palanivel pada pukul 4 petang tadi.
Notis antara lain meminta penjelasan kerajaan termasuk apakah langkah-langkah khusus yang dirancang akan diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah jerebu ketika ini.
Kerajaan juga diberi masa seminggu(7 hari) untuk membuat penjelasan itu.
Kegagalan, akan memaksa kumpulan itu “mengambil tindakan undang-undang dan langkah-langkah selanjutnya”.
Kumpulan itu berkata tindakan undang-undang itu dilakukan bagi meletakkan tanggungjawab terhadap kerajaan yang didakwa mereka “di bawah perlembagaan, kerajaan seharusnya melindungi warganya”.
“Kami perhatikan jerebu telah mencapai paras bahaya kebelakangan ini. Darurat telah diisytihar, sekolah telah ditutup ekoran udara beracun dan jerebu bahaya” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Agung MAP, Jufliz Faiza dan Setiausaha PRM Al Jafree Md Yusop.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak media juga telah menyiarkan nama lapan syarikat negara ini yang dikatakan terbabit dengan pembakaran hutan di Indonesia.
Ahad lalu kumpulan yang sama memberikan kerajaan 48 jam untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan namun mendakwa tidak mendapat maklum balas.
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya sebelum ini menamakan 8 syarikat Malaysia yang didakwa terbabit dalam pembakaran hutan di wilayah Riau dan Jambi.
Syarikat terbabit adalah PT Langgam Inti Hiberida, PT Bumi Rakksa Sejati, PT Tunggal Mitra Plantation, PT Udaya Loh Dinawi, PT Adei Plantation, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri dan PT Mustika Agro Lestari.
Selain itu 14 syarikat lain turut disiasat.
#jerebu #Memacu Arus Perjuangan #Parti Rakyat Malaysia #PRM
;