2 helikopter JBPM diguna hantar vaksin ke kampung Orang Asli di Kelantan

Muhafandi Muhamad
September 15, 2021 18:04 MYT
Penghantaran itu membabitkan dua helikopter jenis Agusta 109E dan Mi-17 dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor. - Gambar fail
GUA MUSANG: Dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk menghantar petugas dan vaksin COVID-19 jenis CanSino ke kampung Orang Asli di kawasan pedalaman di Gua Musang, bermula hari ini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara JBPM, Penguasa Kanan Bomba I, Roslan Aziz berkata, penghantaran itu membabitkan dua helikopter jenis Agusta 109E dan Mi-17 dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor.
Menurutnya, keadaan cuaca dan masa adalah cabaran bagi petugas yang membawa vaksin dos tunggal jenis CanSino itu.
"Cabarannya kita perlu menepati masa di mana program vaksinasi ini kita perlu memastikan kualiti vaksin yang kita hantar ke pedalaman itu terkawal dan selamat.
"Sebarang kelewatan atau kesilapan dari segi penghantaran vaksin itu akan menyebabkan kerugian kepada pihak Kementerian Kesihatan dan juga kerajaan," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Penyelaras Pasukan Bergerak Orang Asli negeri Kelantan, Dr Farah Munirah Mior Mazlan berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 dos vaksin dapat diberikan kepada penduduk Orang Asli di enam buah pos pedalaman selama empat hari.
Katanya, operasi hari ini bermula di tiga buah kampung di Pos Hau.
"Hari ini kita akan vaksinasi di pos hau yang mana melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Ladoi Lama, Kampung Redip dan Kampung Tapai.
"Jadi secara keseluruhannya jumlah populasi dewasa di pos pedalaman adalah sebanyak 3,059 orang yang mana kita anggarkan semua penduduk ini kita mampu vaksinasi semuanya. Tapi apa yang kita dapat tahu yang setuju (untuk divaksinasi) adalah anggaran 2,000 orang," katanya.
Antara enam pos penempatan yang terlibat dalam program itu ialah di Pos Hau, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Simpor dan Pos Gob.
Selain Unit Udara JBPM dan Jabatan Kesihatan Kelantan, antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
#vaksinasi orang asli #Kelantan #pedalaman #helikopter bomba
;