2 beranak peniaga sate maut lori bertembung

Abd Razak Mohd Ali
Januari 8, 2023 23:22 MYT
Mangsa yang dikenali sebagai Zainab Alias, 64, dan anaknya, Shahren Ismail, 37, disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar/ JBPM
BAGAN SERAI: Dua beranak peniaga sate maut selepas lori yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta di Kampung Kedai 2, Tebok Rimba Simpang 4, Semanggol, dekat sini, malam ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Zainab Alias, 64, dan anaknya, Shahren Ismail, 37, disahkan maut di lokasi kejadian.
Setakat ini belum dipastikan sama ada kedua-dua beranak itu dalam perjalanan pergi atau pulang daripada berniaga, apabila lori yang dipandu Shahren terlibat dalam kemalangan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 7.39 malam.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris, berlanggar dengan sebuah lori jenis Daihatsu yang menyebabkan pemandu dan penumpang lori tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, pemandu kereta yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fauziah Baharudin tamat jam 9.13 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
#kemalangan maut #peniaga sate #Gunung Semanggol #dua beranak maut
;