2 beradik lemas di kolam renang di Ipoh - Polis
Aida Aziz
Februari 27, 2023 13:13 MYT
Februari 27, 2023 13:13 MYT
IPOH: Dua beradik masing-masing berusia 8 dan 9 tahun lemas ketika melakukan aktiviti renang di sebuah kolam renang di sini, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata mangsa kanak-kanak lelaki dan perempuan itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, dan disahkan maut oleh pihak hospital.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.10 petang semalam.
"Pihak siasatan telah menyiasat di tempat kejadian dan mendapati dua orang adik-beradik berumur 9 tahun (perempuan) dan 8 tahun (lelaki), berasal dari Ipoh didapati lemas semasa berenang di dalam kolam renang tersebut.
"Bedah siasat telah dijalankan hari ini dan mendapati punca kematian disebabkan lemas dalam air (drowning)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan dengan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) (mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal).
Pihak polis turut menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini.