2 beradik cederakan pembantu rumah kekal jalani hukuman penjara
Bernama
Julai 5, 2013 17:50 MYT
Julai 5, 2013 17:50 MYT
Dua wanita adik beradik, yang mencederakan dan melakukan penderaan seksual terhadap pembantu rumah mereka dari Indonesia, akan terus menjalani hukuman penjara selama lima tahun lapan bulan apabila permohonan mereka untuk mendapatkan semakan semula kehakiman ditolak hari ini.
Wong Choy Lin, 41, dan Choy Kin, 39, gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan semakan semula kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Mereka memohon mendapatkan semakan semula kehakiman bagi keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk merayu terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadap mereka.
Seseorang tertuduh perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memohon mendapatkan semakan semula kehakiman sekiranya kesnya berasal daripada Mahkamah Majistret.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Ramly Ali, sebulat suara menolak permohonan dua wanita itu.
"Kami dapati tidak ada keadaan khas yang mewajarkan kami menggunakan budi bicara untuk meluluskan semakan semula kehakiman itu," katanya.