2 bazar Ramadan di Kepala Batas diberi notis amaran gagal patuh SOP

Dewi Nur Harasha Alias
April 20, 2021 23:43 MYT
Dua bazar yang diberikan notis amaran ialah Bazar Ramadan Pekan Kepala Batas dan Bazar Ramadan Penaga. - Gambar/ Astro AWANI
KEPALA BATAS: Dua dua penganjur bazar Ramadan di Kepala Batas, dikenakan notis amaran selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, notis itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam operasi yang turut disertai pihaknya dan Jabatan Kesihatan Negeri, petang Selasa.
Katanya, dua bazar itu ialah Bazar Ramadan Pekan Kepala Batas dan Bazar Ramadan Penaga.
Beliau berkata, notis amaran serta-merta itu dikeluarkan bagi memastikan penganjur menambah baik pematuhan SOP dan sekiranya gagal, tindakan penutupan akan diambil.
Noorzainy berkata antara kesalahan yang dikesan ialah penganjur gagal mengawal jumlah pengunjung, tidak mencatat nama yang betul pada buku catatan selain pekerja melebih dua orang di sebuah gerai
"Hasil pemantauan kami dapati kedua-dua bazar ini gagal mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya dalam memastikan penjarakan fizikal... gagal catat nama pengunjung dengan betul... pekerja lebih dua orang.
"Ada peniaga di sini gagal dapat maklumat apa yg harus dibuat... kegagalan pihak penganjur gagal memberi maklumat," katanya selepas mengetuai Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini.
Noorzainy berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan semula di kedua-dua bazar berkenaan pada Rabu bagi memastikan penganjur mematuhi notis yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 19 bazar Ramadan dan satu bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini di Kepala Batas dan beliau berharap semua pihak mematuhi SOP.
#Bazar Ramadan #Kepala Batas #notis amaran #gagal patuh SOP #polis #mbkp #Bazar Ramadan Pekan Kepala Batas #Bazar Ramadan Penaga #ramadan2021
;