2 anggota URB bongkar sindiket dadah dinaik pangkat

Dewi Nur Harasha Alias
April 7, 2021 20:49 MYT
Simon Pasang Kana, 33, dan Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, sebelum ini berpangkat koperal serta bertugas di URB Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
NIBONG TEBAL: Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM22.46 juta pada Februari lepas di Juru, dekat sini dinaikkan pangkat secara khas ke jawatan sarjan.
Simon Pasang Kana, 33, dan Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, sebelum ini berpangkat koperal serta bertugas di URB Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Pengarah Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim di sini hari ini.
Zainal dalam pada itu berkata, kenaikan pangkat kedua-dua anggota itu diharap akan menjadi sumber inspirasi kepada anggota polis yang lain dalam melaksanakan tugasan.
"Ketua Polis Negara berikan mereka pangkat sarjan. Kenaikan ini diharapkan beri motivasi kepada anggota lain bahawa integriti dalam PDRM begitu penting.
"Di sini kita dapat buktikan bahawa masih ramai lagi pegawai dan anggota polis yang mempunyai jiwa dan integriti yang tinggi, tidak seperti yang digembar-gembur... yang kata anggota polis ini banyak terlibat dengan salah laku dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Muhamad Shahilmi berkata kenaikan pangkat itu bukan sahaja pembakar semangat kepada beliau malah anggota lain juga untuk terus berkhidmat dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti dalam pasukan.
"Masa mula-mula dimaklumkan mengenai kenaikan pangkat (ke sarjan) memang sangat terkejut dan saya bersyukur diberikan peluang untuk kenaikan itu, rezeki
untuk isteri dan tiga anak lelaki saya... kalau ikutkan saya memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk ke jawatan tersebut," katanya.
Sementara itu, Simon Pasang pula berkata beliau dan Muhammad Shahilmi berkhidmat dalam PDRM sejak 10 tahun lepas serta pembongkaran sindiket pengedaran dadah itu merupakan kenangan manis kepadanya malah tidak menyangka akan menerima kenaikan pangkat.
"Kejayaan pembongkaran sindiket dadah itu bukan hanya untuk kami berdua sahaja tetapi untuk semua pasukan polis," katanya.
Pembongkaran sindiket berkenaan pada 25 Februari itu dibuat semasa tugasan rondaan oleh Muhammad Shahilmi dan Simon Pasang berdekatan sebuah kondominium di Juru Sentral, dekat sini kira-kira 2 pagi selepas melihat tiga suspek sedang memunggah dadah berkenaan dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV.
Kejayaan itu juga julung-julung kalinya pihak URB berjaya membuat tangkapan terbesar dadah dalam tempoh lima tahun iaitu membabitkan dadah jenis syabu seberat 623.76 kilogram di dalam 601 bungkusan.
#URB #polis #menumpaskan sindiket pengedaran dadah #rondaan #Koperal #sarjan #pemakaian pangkat
;