2 anggota polis maut dirempuh lori terbabas

Siti Nur Aqilla Omar
November 6, 2019 11:45 MYT
Dua anggota polis maut dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah lori yang terbabas di Seri Alam pagi tadi. -Astro AWANI
Dua anggota polis maut dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah lori yang terbabas di Seri Alam pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata dalam kejadian awal pagi kira-kira jam 5.30 pagi tadi, enam anggota IPD Seri Alam sedang memuat naik kelengkapan selepas selesai tugasan sekatan jalan cegah jenayah di Jalan Changong, Pasir Puteh, Seri Alam di sini.
"Ketika kejadian, keenam-enam anggota yang sedang memuat kelengkapan ke atas Land Rover untuk balik ke pangkalan dengan tiba-tiba dirempuh sebuah lori dari arah Kota Masai ke Taman Pasir Puteh.
"Siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh lima daripada enam anggota berkenaan serta Land Rover yang berada di tepi jalan.
"Akibat kemalangan tersebut dua anggota polis meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, dari Balai Polis Pasir Gudang dan Lans Koperal Mohamad Johari Rosli, 32, dari Balai Polis Taman Scientex, Seri Alam," kata Ismail dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, tiga anggota polis daripada Balai Polis Pasir Gudang, Balai Polis Scientex dan Balai Polis Pasir Puteh mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Seorang lagi anggota polis tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu lori yang berumur 47 tahun berasal daripada Kota Masai juga sedang menerima rawatan di HSI kerana mengalami cedera ringan," kata Ismail.
Siasatan dijalankan di bawah Sekatan 41(1) APJ 1987.
#anggota polis maut #Ismail Dollah #Jalan Changong #Mohamad Johari Rosli #Pasir Puteh #Saifullah Mohamad #Seri Alam
;