2 anggota polis cedera ditikam ketika tangkap pengedar dadah
Adam Darwish
April 14, 2023 19:05 MYT
April 14, 2023 19:05 MYT
KOTA BHARU: Dua anggota polis cedera ditikam ketika cuba menahan seorang suspek pengedar dadah di Kampung Siput dekat Meranti, Pasir Mas tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.42 tengah malam itu, anggota berusia 28 dan 30 tahun terbabit mengalami cedera di lengan, paha, pergelangan tangan, belakang dan muka selepas bergelut dengan suspek yang bersenjatakan pisau.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum kejadian kedua-dua anggota berpangkat lans koperal itu melihat suspek berusia 30 tahun sedang membimbit plastik hitam di tepi sebuah motosikal.
"Selepas dihampiri dan cuba ditahan, suspek kemudian telah menggunakan pisau bagi menggelak ditahan menyebabkan berlaku pergelutan.
"Dalam pergelutan tersebut, suspek telah menggunakan pisau dan menyebabkan kedua-dua anggota cedera akibat ditikam sebelum dia berjaya ditahan.
"Selepas pemeriksaan ke atas plastik hitam yang dibawa, ditemui bungkusan-bungkusan mengandungi dadah jenis pil kuda sebanyak 12,000 biji dan 282.90 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM232,000," katanya selepas melawat kedua-dua anggota itu di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 di sini, hari ini.
Katanya, turut dirampas adalah sebilah pisau dan suspek telah direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 April depan untuk siasatan lanjut.
Muhamad Zaki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.