2,947 unit hartanah di Pulau Pinang tidak terjual setakat suku ketiga 2023

Bernama
November 29, 2023 05:15 MYT
Kerajaan negeri komited terhadap agenda perumahan di Pulau Pinang sebagaimana ditetapkan dalam Visi Penang 2030 serta Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dimaklumkan bahawa sebanyak 2,947 unit hartanah di negeri itu dikategorikan sebagai tidak terjual setakat suku ketiga 2023, kebanyakannya akibat kegagalan pemohonnya mendapat pembiayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S. Sundarajoo berkata ini termasuk 503 unit atau 17 peratus hartanah berharga RM300,000 ke bawah sepertimana mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
"Kebanyakan unit-unit yang tidak terjual ini adalah disebabkan oleh kegagalan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 di persidangan DUN itu di sini, semalam.
Sundarajoo berkata kerajaan negeri juga sentiasa komited dan serius terhadap agenda perumahan di Pulau Pinang sebagaimana ditetapkan dalam Visi Penang 2030 serta Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023.
Malah, kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan perumahan disediakan secara seimbang dan dibangunkan secara holistik dengan mengambil kira keperluan masyarakat setempat.
"Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) adalah perumahan bersubsidi yang perlu disediakan dan ditanggung oleh kerajaan negeri atau pemaju swasta yang ingin membangunkan perumahan di Pulau Pinang.
"Bagi membolehkan sesuatu pembangunan dilaksanakan secara holistik, ada komponen-komponen perumahan mahal yang perlu dibangunkan bagi memberi subsidi silang kepada perumahan RMM," katanya.
Menyentuh isu pelaksanaan projek Pembaharuan Semula Bandar (URC), beliau berkata perkara itu adalah fokus utama kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dalam memastikan pembekalan RMM diteruskan selain menyediakan perumahan ergonomik dan selesa untuk rakyat.
Beliau turut menyifatkan projek pembaharuan semula sebagai langkah strategik bagi meningkatkan penggunaan tanah dan menambah baik kualiti kehidupan.
"Lima projek perintis URC sedang dan akan dilaksanakan di bawah Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar. Namun, skim-skim lain boleh memohon kepada kerajaan negeri melalui LPNPP untuk dikaji aspek kebolehlaksanaannya," kata beliau.
--BERNAMA
#rumah tidak terjual #DUN Pulau Pinang #S Sundarajoo #pulau pinang
;