2,579 kesalahan tiada lesen memandu dikesan JPJ Sabah pada Operasi Aidiladha

Bernama
Julai 3, 2024 21:06 MYT
Mohd Harris berkata kesalahan kedua tertinggi adalah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dengan jumlah 1,668, diikuti kesalahan tiada insurans dengan jumlah 1,199. - Gambar FB Sabah
KOTA KINABALU: Kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 2,579 yang berjaya dikesan adalah kesalahan tertinggi direkodkan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah antara 10 hingga 30 Jun lepas.
Pengarah JPJ Negeri Sabah Mohd Harris Ali berkata kesalahan kedua tertinggi adalah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dengan jumlah 1,668, diikuti kesalahan tiada insurans dengan jumlah 1,199.
Beliau berkata sebanyak 7,988 notis saman dikeluarkan kepada 3,865 kenderaan sepanjang pelaksanaan operasi atas pelbagai kesalahan.
"Ia termasuklah gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 serta Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan.
"Secara keseluruhan, sebanyak 34,652 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang 20 hari Operasi HRAA itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Harris berkata sebanyak 156 buah kenderaan telah disita, manakala pemeriksaan terhadap 2,439 kenderaan perkhidmatan awam (KPA), JPJ Negeri Sabah telah mengeluarkan 120 notis saman atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, hasil penyamaran sebagai penumpang terhadap bas ekspres yang beroperasi sepanjang tempoh operasi, sebanyak 5 notis saman telah dikeluarkan yang melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar, menurunkan dan mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan.
-- BERNAMA
#JPJ #notis saman #tiada insurans #hasil penyamaran
;