2.5 juta kenderaan dijangka masuk Perak menjelang Tahun Baharu Cina
Bernama
Februari 5, 2024 15:19 MYT
Februari 5, 2024 15:19 MYT
SERI ISKANDAR: Lebih 2.5 juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan jalan Persekutuan pada hari puncak menjelang Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 10 Feb ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kenderaan akan berpusu-pusu masuk khususnya pada waktu puncak iaitu Jumaat dan Sabtu.
"Dari Tanjung Malim ke Parit Buntar kita jangkakan tidak kurang daripada 2.5 juta (kenderaan) termasuk jalan Persekutuan yang melalui negeri ini khususnya pada waktu puncak menjelang Tahun Baharu Cina nanti.
"Kita juga nasihatkan pengguna khususnya dari Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam misalnya boleh gunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sampai ke Changkat Jering. Jika mahu teruskan ke utara boleh masuk semula ke Lebuhraya Utara-Selatan bagi redakan kesesakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Petronas Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.
Program Free Fuel, Free Road Fatality @ Petronas UTP itu turut melibatkan pemberian RON 95 kepada 300 kereta dan 500 motosikal serta penukaran minyak enjin kepada 100 motosikal secara percuma selain pameran reruai agensi kerajaan dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
Turut hadir Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan dan Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Perak Datuk Nor Sham Rahman.
Mohammad Nizar menyarankan pengguna lebuh raya supaya mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
"Berhentilah berehat seketika dan jangan memandu melebihi empat jam secara terus, minum kopi segarkan mata, solat ataupun regangkan badan bagi elak daripada mengantuk," katanya.
Terdahulu beliau turut melancarkan Kempen Panduan Keselamatan Jalan Raya yang boleh diakses menerusi Kod QR yang dicetak di atas bahan kempen yang diedarkan kepada pengguna jalan raya atau melalui laman media sosial rasmi agensi di bawah MKJR Perak.
-- BERNAMA