2,312 unit rumah tidak terjual di Perak tahun lalu - Exco

Abd Razak Mohd Ali
Disember 5, 2023 10:10 MYT
Data NAPIC menunjukkan, kediaman jenis kondominium merupakan penyumbang tertinggi kepada rumah tidak terjual iaitu sebanyak 1,203 unit tahun lepas. - Gambar hiasan
IPOH: Terdapat sebanyak 2,312 unit rumah tidak terjual di negeri Perak tahun lalu, kebanyakannya yang berharga lebih RM200,000.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) tahun lalu juga menunjukkan, rumah jenis kondominium merupakan penyumbang tertinggi tidak terjual iaitu 1,203 unit (52.03 %).
Menurutnya, daerah tertinggi mencatatkan perumahan tidak terjual adalah Kinta (1,065), diikuti Manjung (498) dan Kampar (328).
“Daerah yang mencatat jumlah terendah perumahan tidak terjual pula adalah Bagan Datuk (sembilan) manakala Perak Tengah dan Selama tiada perumahan yang tidak terjual,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.
Menurut Sandrea, data itu menunjukkan rumah yang tidak terjual di Perak adalah yang dijual pada harga di luar kemampuan serta tidak memenuhi permintaan pembeli di dalam lokaliti projek tersebut.
Namun, katanya, dari tahun 2018 sehingga tahun 2022, berlaku penurunan yang konsisten dari segi angka perumahan yang tidak terjual.
Menurutnya, berdasarkan data NAPIC, rakyat Perak didapati lebih cenderung membeli rumah kos rendah yang berharga di bawah RM100,000 dan tiada rumah dalam kategori itu yang tidak terjual.
Beliau memaklumkan, antara langkah kerajaan negeri bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual ialah pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Perak bagi pembangunan yang melibatkan keluasan tanah melebihi 20 ekar.
“Pemaju diwajibkan membina 40 peratus pembangunan rumah mampu milik yang merangkumi pembinaan Rumah Perakku I, Rumah Perakku II dan Rumah Perakku III, manakala baki sebanyak 60 peratus dibenarkan untuk pembinaan rumah harga terbuka,” ujarnya.
Bagaimanapun, tambahnya, pihak pemaju diseru agar lebih berhati-hati dalam menyusun strategi dan melaksanakan kajian pasaran dan permintaan berdasarkan lokaliti setempat sebelum memulakan projek bagi mengelakkan isu rumah tidak terjual.
Jelasnya, kerajaan negeri turut memberi insentif kepada pemaju untuk menggalakkan pembangunan Rumah Perakku seperti pengurangan caj pemajuan dan caj premium bagi tujuan pengeluaran hakmilik bagi Rumah Perakku I dan Rumah Perakku II.
#rumah tidak terjual #DUN Perak #Sandrea Ng #pemaju perumahan
;