2.3 juta saman tertunggak direkodkan Polis Johor
Bernama
September 30, 2022 12:34 MYT
September 30, 2022 12:34 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 2.3 juta saman tertunggak dengan nilai anggaran RM340 juta direkodkan Polis Johor membabitkan pelbagai kesalahan trafik di negeri ini sejak 2014 hingga kini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah itu 109,758 saman adalah melibatkan pemandu warga Singapura.
"Setakat ini, hanya 600,000 saman sudah dijelaskan. Antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya pada sidang media pada acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Brother Motor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Justeru, beliau menyeru semua pesalah trafik memanfaatkan program pengurangan saman Polis Johor sebanyak 50 peratus di Balai Trafik di semua ibu pejabat daerah negeri ini dari pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang bermula hari ini hingga Ahad (2 Okt).
Sementara itu, beliau berkata seorang pemandu lori yang tular dalam sebuah rakaman video kerana tindakannya membuang sampah ke dalam sungai di jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33 di Pontian, sebelum ini telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kamarul Zaman berkata lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di sekitar bandar Pontian kira-kira 7 malam tadi iaitu lima jam selepas usaha mencarinya dijalankan.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.
Menurut beliau lelaki berkenaan telah dikenakan kompaun di bawah Rule 52 LN 166/59 manakala lori miliknya dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang serta tempat pembuangan sampah dan sampah tersebut sepatutnya dibuang di tempat khas, namun dia bertindak mengambil jalan mudah.
Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderannya di atas sebuah jambatan sebelum bertindak memikul dan membuang sampah ke dalam Sungai Wak Rabun Batu 33.
Berhubung acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor, Kamarul Zaman berkata ia bertujuan menyantuni, memberi nasihat dan beramah mesra dengan penunggang motosikal agar menunggang dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya.
"Program ini mengambil masa tiga hari melibatkan jarak sejauh 734 kilometer. Kami juga akan memberi sumbangan ikhlas kepada golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan fakir miskin," tambahnya.
-- BERNAMA