2,298 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

Nursyazwani Saiful Sham
April 4, 2020 20:26 MYT
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan pada Sabtu, India merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas iaitu 1,016 orang. Foto: Bernama
Seramai 2,298 rakyat Malaysia yang masih terkandas di 47 buah negara.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan pada Sabtu, India merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang terkandas iaitu 1,016 orang.
Negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang).
Setakat 4 April 2020, seramai 4,811 orang rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air sama ada melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian.
"Dua penerbangan sewaan khas Malindo Air yang membawa 270 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini masing-masing melalui penerbangan OD210 pada jam 4.15 pagi dan penerbangan OD222 pada jam 4.51 petang.
"Kementerian Luar Negeri sedang giat menyelaras usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India. Sebanyak tiga penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April 2020.
"Sehingga jam 5 petang, 4 April 2020,seramai 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India telah berjaya dibawa pulang," jelasnya.
BACA: Wisma Putra pandang serius rakyat Malaysia dikuarantin di India
Manakala, sebuah sewaan khas Malindo Air (OD8184) membawa 66 penumpang yang terkandas di Nepal (43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan 1 rakyat UK – pasangan rakyat Malaysia) dijangka tiba di KLIA pada jam 8.05 malam ini.
"Penerbangan pesawat ini dibiayai sepenuhnya oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC). Rakyat Singapura tidak akan menjalani proses kuarantin di Malaysia kerana mereka akan terus dibawa pulang menerusi sebuah pesawat khas sejurus ketibaan mereka di KLIA," katanya.
Di samping itu, seramai 115 orang warganegara Malaysia dari Hanoi, Vietnam akan tiba di KLIA pada hari ini, jam 10.30 malam melalui penerbangan komersial MH 767 yang dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines.
"Penerbangan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kolaborasi erat Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City bersama Malaysia Airlines," jelasnya.
BACA: Kerajaan tidak akan abai kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara - Kamarudin
Untuk rekod, mereka yang terkandas merupakan rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi tujuan jangka masa pendek seperti melancong, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu yang mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke tanah air disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, atau tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kos untuk terus berada di luar negara.
#Datuk Kamarudin Jaffar #India #Nepal #rakyat Malaysia #terkandas #Thailand
;