2,145 pelajar dijangkiti COVID-19 sejak Februari - KP Kesihatan
Bernama
Oktober 22, 2020 23:28 MYT
Oktober 22, 2020 23:28 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 2,145 pelajar dikesan positif COVID-19 sejak Februari lalu hingga semalam, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, sebanyak 1,257 pelajar dikesan positif pada gelombang ketiga pandemik itu dari 22 Sept hingga semalam.
Beliau berkata 830 kes membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun manakala 1,315 kes membabitkan pelajar berusia 13 hingga 18 tahun.
Dalam gelombang ketiga, 587 kes membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun dan 670 kes pelajar berusia 13 hingga 18 tahun, katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.
Katanya, sejak gelombang ketiga melanda negara, sejumlah 12 sekolah yang terkesan dengan wabak tersebut ditutup selama seminggu bagi proses nyahkuman dan saringan kontak rapat dilakukan.
Beliau berkata Negeri Sembilan dan Johor masing-masing mencatatkan penutupan tiga sekolah susulan Kluster Cahaya, Kluster Sofi dan Kluster Bah Manggis di Negeri Sembilan serta Kluster Simera dan Kluster Rinting (dua sekolah) di Johor.
Kuala Lumpur pula mencatatkan penutupan dua sekolah melibatkan Kluster Jalan Pantai dan Kluster Long manakala Pulau Pinang, Melaka, Putrajaya dan Sarawak masing-masing menutup satu sekolah berikutan Kluster Alma, Kluster Bukit, Kluster Selasih dan Kluster Bah Arnab.
Sementara ketika ditanya sama ada saringan penghuni Blok B, Flat Pelangi Damansara ada kaitan dengan Kluster Utama, Dr Noor Hisham berkata pihaknya tidak akan mengumumkan jenis kaitan bagi menghindari stigmatisasi dan ketakutan di kawasan itu.
Beliau berkata paling penting, sekiranya terdapat kes positif di sesuatu kawasan, kementerian akan mengambil tindakan seperti menutup tempat tersebut dan melakukan proses pembasmian kuman.
"Kami tidak akan mengumumkan nama tempat atau tindakan melakukan saringan di sesuatu kawasan," katanya.
"Sebaik sahaja ada kes di kawasan itu, orang ramai akan takut untuk pergi ke sekolah, kondominium atau pusat membeli belah. Kita faham, ada tindakan telah dilakukan," katanya.
-- BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah
#kes positif
#COVID-19
#pelajar
#pandemik
#Ketua Pengarah Kesihatan
#Kluster Cahaya