2,000 polis siap sedia, PDRM jangka peningkatan kenderaan di Pulau Pinang mulai esok
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 14, 2021 15:04 MYT
Oktober 14, 2021 15:04 MYT
BATU KAWAN: Polis Pulau Pinang menjangkakan peningkatan aliran trafik mulai esok susulan kemasukan perantau dan pelancong ke negeri itu pada hujung minggu ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, meskipun aliran trafik di Pulau Pinang masih terkawal, namun, pihaknya telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuk menambah pasukan rondaan di seluruh kawasan di negeri itu.
Fisol berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan kedatangan semua yang ingin mengunjungi Pulau Pinang namun mengingatkan agar mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau berdepan tindakan penguatkuasaan.
“Aliran trafik memang dijangka akan meningkat dan kerana itu kita telah mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk pastikan mulai malam ini untuk kiraan aliran kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang… saya jangkakan menjelang petang esok, aliran trafik akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kereta Polis Proton X70 oleh Inari Technology Sdn Bh0 kepada PDRM Pulau Pinang di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, Fisol berkata, seramai 2,000 anggotanya telah bersiap sedia melakukan pemantauan aliran trafik serta di kawasan tumpuan pelancongan khususnya di kawasan pantai, perkelahan serta kedai makan.
Pada masa ini, jelas beliau, terdapat 114 pasukan pematuhan PDRM di negeri itu dan jumlah berkenaan akan ditambah kepada 153.
Dijangkakan 50,000 pelancong akan mengunjungi Pulau Pinang hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri seluruh negara yang bermula Isnin lepas.
Pada Ahad lalu, kerajaan mengumumkan pergerakan merentas negeri dibenarkan kepada seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang sudah menerima vaksinasi lengkap.
Kebenaran pergerakan negeri yang berkuat kuasa Isnin lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas.