2,000 petugas barisan hadapan pelancongan Perak belum terima vaksin

Bernama
Ogos 5, 2021 04:10 MYT
Daripada lebih 5,000 pemain industri pelancongan Perak yang berdaftar melalui MOTAC, kira-kira 3,000 telah menerima suntikan vaksin di daerah masing-masing. - Gambar hiasan/Bernama
IPOH: Kira-kira 2,000 petugas barisan hadapan industri pelancongan di Perak belum menerima vaksin, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Beliau berkata pihaknya telah membuat permohonan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan menunggu kelulusan agar suntikan vaksin dapat diberikan kepada kesemua petugas barisan hadapan industri pelancongan negeri ini.
"Kami sudah meminta kelulusan CITF agar mereka yang berdaftar dengan Tourism Perak ini mendapatkan suntikan vaksin sekurang-kurangnya pada bulan ini.
"Ia bergantung kepada bekalan vaksin yang ada. Kami akan guna segala platform yang ada untuk mendapatkan vaksin sesegera mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, Nolee selepas menyampaikan 300 bakul makanan kepada wakil peniaga di sini semalam berkata, pihaknya menerima lebih 5,000 nama pemain industri pelancongan Perak yang berdaftar melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
"Daripada jumlah itu kira-kira 3,000 orang yang kami saring telah menerima suntikan vaksin di daerah masing-masing.
"Jadi kira-kira 2,000 lagi khasnya petugas barisan hadapan industri pelancongan perlu divaksin termasuk sektor perhotelan, inap desa dan sebagainya," katanya.
Sementara itu beliau berkata lima kawasan utama pelancongan di negeri ini akan dijadikan sebagai kawasan COVID-19 Free Destination yang akan diiktiraf MOTAC iaitu Ipoh, Kuala Kangsar, Kampar, Batu Gajah, dan Lumut.
-- BERNAMA
#bekalan vaksin #COVID-19 #Ipoh #suntikan #petugas barisan hadapan #Perak #CITF #Nolee Ashilin Mohamed Radzi #industri pelancongan #pelancongan #vaksin #MOTAC #hotel #inap desa #COVID-19 Free Destination #Tourism Perak
;