2,000 pelajar terima akaun percuma SSPN-i

Nazialita Geynna Maharan
Januari 20, 2017 16:57 MYT
Sebanyak 2,000 akaun deposit SSPN-i telah diberikan secara percuma kepada pelajar Tahun 1 dan pelajar kategori B40 di sekitar daerah Bagan Datuk.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif murni itu merupakan sumbangan pihaknya bagi menggalakkan ibu bapa untuk memulakan persiapan tabung pendidikan bagi anak mereka sejak awal usia.
"Ia sekali gus memenuhi matlamat Belanjawan Negara 2017 yang memberikan insentif khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul RM50 ke dalam akaun SSPN-i khusus untuk pelajar Tahun 1 sekolah bantuan penuh kerajaan.
"Sumbangan 2,000 akaun percuma ini adalah sebagai pendorong untuk ibu bapa khususnya di Bagan Datuk untuk memanfaatkan sepenuhnya pelan simpanan pendidikan terbaik bagi rakyat Malaysia untuk masa depan anak-anak mereka.
"Harapan saya, agar masyarakat di Bagan Datuk dapat mengambil peluang ini seterusnya menyedari usaha PTPTN yang ingin melihat anak-anak mereka melanjutkan pengajian kelak tanpa dibebani masalah kewangan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Geran Sepadan dan Kempem Jom Menabung bersama Tabung Pendidikan yang julung kalinya diadakan di Dewan MPTI, Sungai Sumun, di sini pada petang Jumaat.
Katanya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang bertujuan menyuntik kesedaran pengurusan wang dinamik di kalangan rakyat Malaysia khususnya untuk tujuan pendidikan.
Selain itu, Shamsul juga berharap orang ramai dapat menyokong pelancaran Karnival Jom Menabung yang dilaksanakan untuk membudayakan amalan penabungan di kalangan rakyat Malaysia.
"Terdapat pelbagai objektif yang disasarkan oleh PTPTN untuk pelancaran kempen ini namun secara keseluruhannya ia adalah untuk memperkenal dan menyebar luas insentif Geran Sepadan SSPN-i selain menjalin hubungan positif di antara pemimpin, PTPTN dan masyarakat setempat.
"Satu yang saya harus ingatkan, pihak PTPTN bukanlah pemberi pinjam atau pengutip hutang malah misi kami adalah untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pinjaman untuk pendidikan anak mereka melalui kemudahan simpanan akaun SSPN-i," katanya.
#CSR #Datuk Shamsul Anuar Nasarah #Geran Sepadan SSPN-i #PTPTN #SSPN-i
;