2,000 belia Terengganu daftar sukarelawan vaksin
Nur Fazlizai Ali
Jun 14, 2021 09:14 MYT
Jun 14, 2021 09:14 MYT
DUNGUN: Lebih 2,000 belia di negeri ini telah berdaftar untuk menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) sejak Mac.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Izwandy Ismail berkata, setakat ini, 233 sukarelawan telah ditempatkan 13 pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membantu melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurutnya, sukarelawan ini ditempatkan mengikut keperluan semasa di setiap PPV di mana mereka akan bertugas mengikut sistem penggiliran dan kumpulan, berdasarkan daerah masing-masing.
"Setakat ini, hanya sebahagian sukarelawan yang terlibat kerana ia bergantung kepada PPV. Seperti contoh di PPV Politeknik Dungun ini, hanya lima orang yang ditempatkan.
"Ia sebagaimana keputusan yang ditetapkan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses vaksinasi di PPV Politeknik Dungun pada Ahad.
Katanya, individu yang mendaftar sebagai sukarelawan MyVac dikehendaki menjalani beberapa saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas dari sebarang penyakit sebelum ditugaskan di PPV.
Selain itu, kata Mohd Izwandy, pihaknya juga membuat saringan keselamatan dengan pihak polis bagi memastikan mereka yang dilantik tidak mempunyai masalah berkaitan jenayah.
Jelasnya lagi, program sedemikian secara tidak langsung dapat membantu golongan belia yang hilang punca pendapatan susulan pandemik COVID-19.
Setiap sukarelawan MyVac dibayar elaun sebanyak RM50 setiap hari.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#COVID-19
#terengganu
#Belia
#pandemik
#vaksin
#PPV
#MyVAC
#sukarelawan
#Mohd Izwandy Ismail
#ujian saringan
#saringan kesihatan
#saringan keselamatan